Howdy and welcome

:)

Thursday 17 November 2011

Hiburan dan belia


HIBURAN DAN BELIA


Hai kawan-kawan…selamat berhibur kembali melalui blog kami. Minggu ini kami akan menyajikan anda dengan persoalan mengenai kaitan hiburan dengan teknologi dan belia. Tahukan anda apakah yang dimaksudkan dengan hiburan? Menurut kamus dewan edisi ke-4, hiburan bermaksud sesuatu perbuatan, perkara dan lain-lain untuk menghiburkan iaitu menyenangkan dan mententeramkan hati. Dengan ini dapatlah kita ketahui bahawa hiburan dapat menyenangkan hati kita dan kita akan rasa tenteram melalui hiburan. Hiburan kebiasaannya dan selalu dikaitkan dengan golongan belia. Hal ini kerana golongan belia merupakan kelompok yang amat meminati dunia hiburan kerana mereka memilih hiburan sebagai tempat mereka melupakan masalah yang dihadapi.

Pada pendapat anda adakah hiburan dapat memberi kesan positif atau ianya hanya memberikan kesan negatif  kepada golongan belia? Persoalan ini timbul kerana kemajuan teknologi yang pesat membolehkan para belia untuk mengakses kepada dunia hiburan ini pada bila-bila masa dari di mana jua mereka berada. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sumber hiburan amat mudah diperolehi dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja  iaitu melalui penggunaan teknologi yang wujud sekarang seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain.

Hiburan meliputi skop yang sangat luas untuk ditafsir dan dikategorikan. Hiburan meliputi muzik, filem, tarian, pemainan dan lain-lain. Belia kini lebih menjurus atau berminat menggunakan masa yang terluang untuk hiburan apabila memerlukan ketenangan. Tidak dapat disangkal lagi, tanpa sesuatu yang boleh menjadi penghibur, hidup dirasakan kosong, lesu dan penuh dengan kebosanan. Malah hiburan di katakan amat sinonim dengan golongan belia atau remaja yang lebih mementingkan gaya hidup yang ‘up to date’ dan proaktif seiring dengan teknologi untuk mendapatkan sumber hiburan

Gambar yang dapat menunjukkan hiburan melalui teknologi




Salah satu    contoh  hiburan



 
Cara paling mudah untuk mengakses hiburan melalui penggunaan teknologi


Selalunya apabila disebut tentang hiburan pasti akan tergambar di fikiran hanya tentang muzik dan filem. Muzik (jazz, pop, rock, blues, rapp, dangdut, poprock dan agogo) dan filem juga merupakan salah satu hiburan yang utama iaitu mampu memberi impak yang positif dan negatif kepada belia berdasarkan cara penerimaan dan penggunaan hiburan tersebut. Misalnya, jika dilihat dari aspek positif, ada di antara pelajar sendiri yang telah menjadikan muzik sebagai semangat untuk mereka mengulangkaji pelajaran. Cuba kita tinjau dari aspek sejarah, manusia didapati lebih berpotensi untuk mencapai apa yang diingini jika seseorang melakukan perkara tersebut di dalam keadaan gembira dan tenang. Secara tidak langsung, muzik dan filem sama ada di televisyen atau di pawagam layak digambarkan sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat terutamanya belia. Dalam hal ini indusri media telah memainkan peranan yang tertentu namun kewujudan ini tetap dipersalahkan tanpa mengetahui asal-usulnya.

Industri media dibangunkan dahulu bagi tujuan membantu kerajaan di dalam usaha menyampaikan maklumat pembangunan kepada rakyat jelata. Tetapi di dalam evolusi industri tersebut di era globalisasi, peranannya sudah berubah kerana nilai-nilai komersialisme. Media dijadikan ruang untuk menonjolkan budaya popular khususnya di kalangan generasi muda. Media juga menjadi perantara di antara budaya tempatan dengan budaya luar yang disalurkan melalui pelbagai rangkaian media. Bagi generasi muda, media menjadi asas rujukan di dalam menimba pengalaman baru yang seterusnya mempengaruhi nilai dan juga gaya hidup mereka. Nilai dan gaya hidup inilah yang kelak mencerminkan identiti budaya generasi muda. Menyalahkan generasi muda di dalam hal berkaitan dengan gaya hidupnya mungkin tidak boleh menyelesaikan masalah sosial mereka. Identiti budaya mereka telah sedikit sebanyak terbentuk oleh persekitaran mereka di dalam konteks industri media yang sudah berkembang pesat di negara ini.

Pada asalnya, teknologi terkini yang menampung evolusi hiburan yang meluasnya terutama dari filem dan muzik secara khususnya adalah bertujuan untuk memberi faedah kepada masyarakat iaitu sebagai penghibur dan menambahkan suasana ceria. Tetapi pada masa kini, golongan belia telah menjadikan tujuannya amat menyimpang dan membawa kepada kesan yang negatif akibat daripada perkembangan teknologi yang sangat pesat. Seperti yang kita sedia maklum golongan belia ini mudah untuk terdorong melakukan atau mencuba sesuatu yang baru. Kemunculan teknologi yang canggih seperti satelit, televisyen, wayang gambar, ‘video player’ dan sebagainya telah memudahkan lagi para belia mendapatkan hiburan yang boleh menjurus kepada perkara-perkara negatif berbanding positif.

Adakah anda bersetuju belia di Malaysia kini lebih berjiwa kebaratan dan terdedah dengan budaya kuning?

Sebenarnya kemunculan teknologi sering disalah erti akan faedahnya terutama bagi hiburan untuk filem-filem barat. Oleh kerana dunia ini semakin global maka sekatan tidak lagi wujud. Jadi pernahkah anda rasa kesannya kepada budaya kita khususnya pelepasan terhadap pegangan agama. Walaupun kini, wujud siri tapisan filem namun masih lagi wujud vcd-vcd yang berbentuk porno yang mudah didapati sewenang-wenangnya dan berharga murah dalam lingkungan harga kurang daripada RM 10.00.

Oleh sebab itulah, ramai golongan belia kini yang hilang harga diri dan menganggap maruah hanyalah satu perkara yang remeh. Kenyataan yang disebut di atas adalah salah satu impak negatif hiburan yang diperolehi daripada teknologi sekarang. Seterusnya, hiburan dari segi tarian yang disukai oleh belia pula ialah seperti ’street dance’ yang membawa kepada budaya ‘gothic, punk, black metal, hiphop’ dan sebagainya. Penerimaan budaya barat ini sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada pihak media yang melambakkan rancangan-rancangan hiburan yang bertemankan ‘keseronokan ala moden’. Seterusnya, perkara ini boleh membawa kepada impak yang negatif iaitu timbulnya ‘subculture’ yang menyimpang dari nilai kemanusiaan sehingga boleh menyebabkan runtuhnya struktur sosial sesebuah budaya.

Sebelum mengakhiri coretan kami pada minggu ini, kami ingin menyelitkan satu artikel yang ditemui di Portal Rasmi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.  



 
BELIA JOM BERUBAH SERAPKAN KEPIMPINAN MELALUI KERIANGAN DAN HIBURAN

 Disediakan oleh: Muhammad Ariff Mat Jusoh (Unit Komunikasi Korporat, KBS)

BUKIT KIARA, 13 September 2011: Sekelompok anak muda yang prihatin dengan masa depan belia di Selangor telah mengambil inisiatif tersendiri dengan mewujudkan satu program komuniti iaitu Belia Jom Berubah yang berkonsepkan penyaluran maklumat semasa menerusi aktiviti keriangan dan hiburan kepada anak-anak muda khususnya di Selangor.
Menurut pengasas program tersebut,  Budiman Mohd. Zohdi, program ini akan menekankan aspek kepimpinan, menetapkan matlamat dan mengurus perubahan melalui kaedah berhibur kepada anak-anak muda yang terpilih terutamanya kepada golongan ‘mat rempit’.
Beliau juga yakin, anak-anak muda mampu berjaya jika mereka mempunyai ketekunan yang mendalam dalam diri masing-masing.
‘ Kejayaan hidup tidak semestinya dinilaikan dengan kebendaan mahupun wang ringgit, sebaliknya memberikan sumbangan kepada orang lain dan melaksanakan sesuatu aktiviti yang dapat memimpin diri sendiri juga adalah satu kejayaan bagi mereka,’ ujarnya.
Program tersebut akan bermula di Kuala Langat pada 22 Oktober 2011 dan bergerak ke  Hulu Selangor pada 29 Oktober 2011 dalam  masa yang terdekat. Seterusnya, program tersebut akan bergerak ke seluruh negeri Selangor dengan mengharapkan generasi muda di negeri itu segera mendapatkan tempat untuk menyertai program ini.
Program komuniti tersebut  dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Haji Ibrahim. Turut hadir ialah, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) , Datuk Irmohizam Ibrahim, dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Zaidi Abdul Aziz.
Bagi belia-belia yang berminat mengikuti aktiviti tersebut, boleh terus menghubungi En. Budiman Mohd. Zohdi di talian 013-341 8011 atau melayari laman web http://jom-berubah.blogspot.com.
Kesimpulannya, adakah hiburan mampu menjurus kepada perkara yang boleh memberi kesan yang positif berbanding negatif kepada belia negara masa kini? Persoalan ini boleh di jawab dengan melihat cara penggunaan dan penerimaan belia terhadap hiburan yang lebih berteraskan kepada arus pemodenan teknologi maklumat.

Semoga apa yang telah dipaparkan dan dikongsi bersama dapat memberi input berguna dan maklumat yang bermanfaat kepada golongan belia khususnya. Seterusnya memperkasakan golongan belia...Sekian.




No comments:

Post a Comment