Howdy and welcome

:)

Thursday 17 November 2011

teknologi komunikasi & pelancongan


Pelancongan merupakan aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan di kala waktu bercuti bersama keluarga mahupun berhibur bersama teman-teman. Selain daripada menyeronokkan, pelancongan juga menjanjikan kepuasan kerana boleh dikaitkan sebagai  “waktu melarikan diri dari dunia sebenar” yang membawa maksud para belia bol...eh melupakan seketika akan dunia pekerjaan atau dunia pembelajaran mereka ketika sedang melancong. Namun, kepuasan ini hanya akan menjadi kenyataan sekiranya para belia merancang pelancongan mereka dengan baik. Pada minggu ini, saya akan berkongsi cara bagaimana dengan wujudnya teknologi komunikasi dapat memudahkan para belia  merancang perlancongan yang bakal dilalui nanti. Terdapat tiga peringkat yang boleh dilakukan dalam merancang pelancongan ini iaitu sebelum melancong, ketika melancong dan selepas melancong.

Sebelum melancong 
Peringkat ini memerlukan banyak kajian dan boleh dilakukan oleh para belia dengan mudah dan pantas  dengan hanya menaip destinasi pilihan menerusi enjin pencarian yang terdapat di internet contohnya Yahoo dan Google bagi mendapatkan maklumat mengenai destinasi yang ingin dikunjungi. Jika belum membuat keputusan mengenai destinasi mana yang harus dipilih, terdapat pelbagai laman web pelancongan yang menawarkan tempat pelancongan untuk dijadikan panduan destinasi. http://www.lonelyplanet.com/
Terdapat juga sesetengah negara yang menyediakan laman web pelancongan sendiri bagi meyakinkan pelancong untuk melancong ke negara mereka. Misalnya, Malaysia mempunyai laman web pelancongan sendiri bagi menarik pelancong yang sekaligus membantu merancakan ekonomi negara menerusi kedatangan pelancong dari luar dan dalam negara.  http://www.tourism.gov.my/

Selain daripada laman web, para belia juga boleh melakukan kajian yang lebih mendalam dengan melawati blog persendirian dan forum. Di blog persendirian, penulis blog kebiasaannya hanya akan menulis mengenai sesuatu destinasi berdasarkan pengalaman mereka. Ini boleh digunapakai oleh para belia untuk dijadikan panduan ketika melancong nanti. Di forum pula, para belia boleh melibatkan diri dan bertanya secara terus sama ada kepada pelancong yang pernah pergi ke destinasi tersebut ataupun penduduk tetap sesuatu destinasi pelancongan yang dipilih. Informasi yang diberikan oleh mereka ini kebiasaannya adalah mengenai maklumat tertentu yang harus juga dititikberatkan sebagai contoh faktor cuaca, sensitiviti budaya, apa yang perlu dibawa,tempat penginapan yang dekat, tempat-tempat menarik,kawasan jenayah berperatusan tinggi dan sebagainya.

Jaringan laman sosial yang diwujudkan khas kepada para pengembara juga boleh dilawati oleh para belia ketika merancang pelancongan dan di sini terdapat ramai kenalan yang berbesar hati untuk membantu dan menerima anda sebagai tetamu mereka. Namun, awas! Para belia dari kalangan wanita haruslah bijak jika ingin turut serta agar tidak diperdayakan. Setelah destinasi pilihan telah dipastikan, kini para belia boleh merancang bagaimana cara untuk ke sana. Bagi menjimatkan masa dan kos, para belia boleh melawati laman web ,memilih dan langsung membeli tiket sama ada ingin melancong menggunakan bas,kereta api, kapal terbang mahupun kapal persiaran. Contohnya, jika ingin ke Bali dengan menaiki penerbangan, para belia boleh ke laman web Air Asia untuk melihat tarikh, masa dan kos yang perlu dikeluarkan dan membeli tiket secara online tanpa perlu pergi ke kaunter.

Seterusnya, para belia boleh menempah tempat penginapan di laman web yang menawarkan perkhidmatan seperti hotel,apartment,homestay dan sebagainya. Di laman web ini para belia boleh melihat gambar bilik yang ingin ditempah, aktiviti yang ditawarkan, kemudahan yand diberikan dan bayaran yang dikenakan untuk menyewa sekaligus memudahkan dan menenangkan fikiran para belia ketika sampai di destinasi pelancongan nanti. 

Ketika melancong 
Setibanya anda di destinasi pilhan, perkara utama yang harus dilakukan adalah mencari tempat penginapan. Teknologi aplikasi Global Positioning System (GPS) yang terdapat dalam telefon bimbit sememangnya dapat membantu anda ke sana dengan mudah dan cepat. Jika anda tersesat semasa melancong teknologi GPS ini juga boleh diharapkan. Selain itu, telefon bimbit seperti iPhone mempunyai aplikasi yang boleh dimuat turun bagi memudahkan anda ketika melancong seperti aplikasi cuaca dan suhu, waktu solat bagi Muslim, dan waktu ketibaan kereta api.

Pada peringkat ini juga, gamba yang diambil ketika melancong boleh dikongsi bersama keluarga dan teman-teman di jaringan laman social seperti Facebook dan Twitter. Komunikasi secara online bagi memberitahu khabar berita juga boleh dilakukan secara berkomunikasi di laman borak seperti Yahoo Messenger dan berkomunikasi secara video call di Skype.

Selepas melancong
Pelancongan yang terindah pastinya memberikan seribu satu memori. Memori ini boleh diabadikan dengan menggunakan teknologi komunikasi hari ini  seperti memuat naik video ketika melancong di Youtube, membuat album gambar di Flixster, dan menulis blog persendirian mengenai perlancongan anda dan memori ini boleh dilihat kembali dan akan berkekalan sekiranya tidak dipadamkan.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi yang wujud pada zaman ini membawa perubahan kepada hidup para belia yang tahu dan mahu menggunakannya sebelum, ketika dan semasa merancang pelancongan namun perlu diingatkan apa juga yang dibaca,dilihat, dan dikongsikan oleh para belia haruslah dipertimbangkan kembali oleh para belia sendiri sama ada ia akan membawa kepada perkara positif mahupun negatif.

Hiburan dan belia


HIBURAN DAN BELIA


Hai kawan-kawan…selamat berhibur kembali melalui blog kami. Minggu ini kami akan menyajikan anda dengan persoalan mengenai kaitan hiburan dengan teknologi dan belia. Tahukan anda apakah yang dimaksudkan dengan hiburan? Menurut kamus dewan edisi ke-4, hiburan bermaksud sesuatu perbuatan, perkara dan lain-lain untuk menghiburkan iaitu menyenangkan dan mententeramkan hati. Dengan ini dapatlah kita ketahui bahawa hiburan dapat menyenangkan hati kita dan kita akan rasa tenteram melalui hiburan. Hiburan kebiasaannya dan selalu dikaitkan dengan golongan belia. Hal ini kerana golongan belia merupakan kelompok yang amat meminati dunia hiburan kerana mereka memilih hiburan sebagai tempat mereka melupakan masalah yang dihadapi.

Pada pendapat anda adakah hiburan dapat memberi kesan positif atau ianya hanya memberikan kesan negatif  kepada golongan belia? Persoalan ini timbul kerana kemajuan teknologi yang pesat membolehkan para belia untuk mengakses kepada dunia hiburan ini pada bila-bila masa dari di mana jua mereka berada. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sumber hiburan amat mudah diperolehi dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja  iaitu melalui penggunaan teknologi yang wujud sekarang seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain.

Hiburan meliputi skop yang sangat luas untuk ditafsir dan dikategorikan. Hiburan meliputi muzik, filem, tarian, pemainan dan lain-lain. Belia kini lebih menjurus atau berminat menggunakan masa yang terluang untuk hiburan apabila memerlukan ketenangan. Tidak dapat disangkal lagi, tanpa sesuatu yang boleh menjadi penghibur, hidup dirasakan kosong, lesu dan penuh dengan kebosanan. Malah hiburan di katakan amat sinonim dengan golongan belia atau remaja yang lebih mementingkan gaya hidup yang ‘up to date’ dan proaktif seiring dengan teknologi untuk mendapatkan sumber hiburan

Gambar yang dapat menunjukkan hiburan melalui teknologi




Salah satu    contoh  hiburan



 
Cara paling mudah untuk mengakses hiburan melalui penggunaan teknologi


Selalunya apabila disebut tentang hiburan pasti akan tergambar di fikiran hanya tentang muzik dan filem. Muzik (jazz, pop, rock, blues, rapp, dangdut, poprock dan agogo) dan filem juga merupakan salah satu hiburan yang utama iaitu mampu memberi impak yang positif dan negatif kepada belia berdasarkan cara penerimaan dan penggunaan hiburan tersebut. Misalnya, jika dilihat dari aspek positif, ada di antara pelajar sendiri yang telah menjadikan muzik sebagai semangat untuk mereka mengulangkaji pelajaran. Cuba kita tinjau dari aspek sejarah, manusia didapati lebih berpotensi untuk mencapai apa yang diingini jika seseorang melakukan perkara tersebut di dalam keadaan gembira dan tenang. Secara tidak langsung, muzik dan filem sama ada di televisyen atau di pawagam layak digambarkan sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat terutamanya belia. Dalam hal ini indusri media telah memainkan peranan yang tertentu namun kewujudan ini tetap dipersalahkan tanpa mengetahui asal-usulnya.

Industri media dibangunkan dahulu bagi tujuan membantu kerajaan di dalam usaha menyampaikan maklumat pembangunan kepada rakyat jelata. Tetapi di dalam evolusi industri tersebut di era globalisasi, peranannya sudah berubah kerana nilai-nilai komersialisme. Media dijadikan ruang untuk menonjolkan budaya popular khususnya di kalangan generasi muda. Media juga menjadi perantara di antara budaya tempatan dengan budaya luar yang disalurkan melalui pelbagai rangkaian media. Bagi generasi muda, media menjadi asas rujukan di dalam menimba pengalaman baru yang seterusnya mempengaruhi nilai dan juga gaya hidup mereka. Nilai dan gaya hidup inilah yang kelak mencerminkan identiti budaya generasi muda. Menyalahkan generasi muda di dalam hal berkaitan dengan gaya hidupnya mungkin tidak boleh menyelesaikan masalah sosial mereka. Identiti budaya mereka telah sedikit sebanyak terbentuk oleh persekitaran mereka di dalam konteks industri media yang sudah berkembang pesat di negara ini.

Pada asalnya, teknologi terkini yang menampung evolusi hiburan yang meluasnya terutama dari filem dan muzik secara khususnya adalah bertujuan untuk memberi faedah kepada masyarakat iaitu sebagai penghibur dan menambahkan suasana ceria. Tetapi pada masa kini, golongan belia telah menjadikan tujuannya amat menyimpang dan membawa kepada kesan yang negatif akibat daripada perkembangan teknologi yang sangat pesat. Seperti yang kita sedia maklum golongan belia ini mudah untuk terdorong melakukan atau mencuba sesuatu yang baru. Kemunculan teknologi yang canggih seperti satelit, televisyen, wayang gambar, ‘video player’ dan sebagainya telah memudahkan lagi para belia mendapatkan hiburan yang boleh menjurus kepada perkara-perkara negatif berbanding positif.

Adakah anda bersetuju belia di Malaysia kini lebih berjiwa kebaratan dan terdedah dengan budaya kuning?

Sebenarnya kemunculan teknologi sering disalah erti akan faedahnya terutama bagi hiburan untuk filem-filem barat. Oleh kerana dunia ini semakin global maka sekatan tidak lagi wujud. Jadi pernahkah anda rasa kesannya kepada budaya kita khususnya pelepasan terhadap pegangan agama. Walaupun kini, wujud siri tapisan filem namun masih lagi wujud vcd-vcd yang berbentuk porno yang mudah didapati sewenang-wenangnya dan berharga murah dalam lingkungan harga kurang daripada RM 10.00.

Oleh sebab itulah, ramai golongan belia kini yang hilang harga diri dan menganggap maruah hanyalah satu perkara yang remeh. Kenyataan yang disebut di atas adalah salah satu impak negatif hiburan yang diperolehi daripada teknologi sekarang. Seterusnya, hiburan dari segi tarian yang disukai oleh belia pula ialah seperti ’street dance’ yang membawa kepada budaya ‘gothic, punk, black metal, hiphop’ dan sebagainya. Penerimaan budaya barat ini sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada pihak media yang melambakkan rancangan-rancangan hiburan yang bertemankan ‘keseronokan ala moden’. Seterusnya, perkara ini boleh membawa kepada impak yang negatif iaitu timbulnya ‘subculture’ yang menyimpang dari nilai kemanusiaan sehingga boleh menyebabkan runtuhnya struktur sosial sesebuah budaya.

Sebelum mengakhiri coretan kami pada minggu ini, kami ingin menyelitkan satu artikel yang ditemui di Portal Rasmi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.  



 
BELIA JOM BERUBAH SERAPKAN KEPIMPINAN MELALUI KERIANGAN DAN HIBURAN

 Disediakan oleh: Muhammad Ariff Mat Jusoh (Unit Komunikasi Korporat, KBS)

BUKIT KIARA, 13 September 2011: Sekelompok anak muda yang prihatin dengan masa depan belia di Selangor telah mengambil inisiatif tersendiri dengan mewujudkan satu program komuniti iaitu Belia Jom Berubah yang berkonsepkan penyaluran maklumat semasa menerusi aktiviti keriangan dan hiburan kepada anak-anak muda khususnya di Selangor.
Menurut pengasas program tersebut,  Budiman Mohd. Zohdi, program ini akan menekankan aspek kepimpinan, menetapkan matlamat dan mengurus perubahan melalui kaedah berhibur kepada anak-anak muda yang terpilih terutamanya kepada golongan ‘mat rempit’.
Beliau juga yakin, anak-anak muda mampu berjaya jika mereka mempunyai ketekunan yang mendalam dalam diri masing-masing.
‘ Kejayaan hidup tidak semestinya dinilaikan dengan kebendaan mahupun wang ringgit, sebaliknya memberikan sumbangan kepada orang lain dan melaksanakan sesuatu aktiviti yang dapat memimpin diri sendiri juga adalah satu kejayaan bagi mereka,’ ujarnya.
Program tersebut akan bermula di Kuala Langat pada 22 Oktober 2011 dan bergerak ke  Hulu Selangor pada 29 Oktober 2011 dalam  masa yang terdekat. Seterusnya, program tersebut akan bergerak ke seluruh negeri Selangor dengan mengharapkan generasi muda di negeri itu segera mendapatkan tempat untuk menyertai program ini.
Program komuniti tersebut  dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Haji Ibrahim. Turut hadir ialah, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) , Datuk Irmohizam Ibrahim, dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Zaidi Abdul Aziz.
Bagi belia-belia yang berminat mengikuti aktiviti tersebut, boleh terus menghubungi En. Budiman Mohd. Zohdi di talian 013-341 8011 atau melayari laman web http://jom-berubah.blogspot.com.
Kesimpulannya, adakah hiburan mampu menjurus kepada perkara yang boleh memberi kesan yang positif berbanding negatif kepada belia negara masa kini? Persoalan ini boleh di jawab dengan melihat cara penggunaan dan penerimaan belia terhadap hiburan yang lebih berteraskan kepada arus pemodenan teknologi maklumat.

Semoga apa yang telah dipaparkan dan dikongsi bersama dapat memberi input berguna dan maklumat yang bermanfaat kepada golongan belia khususnya. Seterusnya memperkasakan golongan belia...Sekian.