Howdy and welcome

:)

Tuesday 29 November 2011

Jenayah Siber

Pada minggu ini, The Voice akan mengupas secara terperinci tentang isu jenayah siber yang merupakan lumrah dalam kepenggunaan komputer di alam serba canggih ini.
Marcapada ini, maklumat di alam siber begitu mudah diperoleh dengan kadar yang pantas melalui teknologi telekomunikasi, internet dan komputer yang canggih. Pelancaran projek Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 oleh kerajaan Malaysia menandakan satu langkah positif sempena ketibaan era maklumat  ini. Era maklumat yang dijana dengan penubuhan MSC ini menuntut persediaan rapi  dan penguatkuasaan sistem perundangan yang berkaitan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan kemungkinan penyelewengan atau jika berlakunya jenayah siber adalah perlu. (Jeong Chun Hai @Ibrahim dan Nor Fadzlina Nawi, 2007)


Walaupun teknologi menjadikan kehidupan manusia bertambah selesa dan lebih baik, terdapat segelintir golongan terutamanya golongan belia yang bersikap negatif dan tidak jujur dalam pendekatan atau penggunaan mereka ke atas perisian siber. Dengan kepakaran dan kemahiran ada, mereka yang sanggup memanipulasi sistem teknologi itu sendiri.


Sebelum menghuraikan isu jenayah siber dengan lebih terperinci, ingin saya berikan definisi jenayah siber. Jenayah siber merupakan jenayah yang melibatkan segala aktiviti-aktiviti jenayah yang kerap berlaku seperti kecurian, penipuan, peras ugut, menggodam maklumat, penyebaran fitnah dan segala bentuk aktiviti yang melibatkan perlanggaran undang-undang yang sedia ada dengan menggunakan kemudahan  komputer atau dengan lebih tepat lagi, dengan menggunakan  internet di ruangan siber (Mohd Dahlan A. Malek dan Ida Shafinaz Mohamed Kamil, 2010). Selain itu, antara contoh jenayah siber yang sering berlaku seperti kerosakan atau pengubahsuaian ke atas data komputer, kecurian/kebocoran maklumat, capaian tidak sah ke atas sesuatu sistem, menyalin perisian secara haram, perjudian dalam talian (on-line gambling), skim cepat kaya, pornografi dan penyebaran virus.


Dengan erti kata lain, jenayah siber adalah aktiviti-aktiviti haram di mana pengetahuan mengenai teknologi siber diaplikasikan untuk merealisasikan sesuatu perkara yang dihajati. Walau bagaimanapun, takrifan jenayah siber bergantung kepada takrifan  jenayah di sesebuah negara. Sebagai contoh di Malaysia, perjudian dalam talian (on-line gambling), pornografi, pengiklanan seks adalah suatu jenayah tetapi bukan jenayah negara lain (Mohd Dahlan A. Malek dan Ida Shafinaz Mohamed Kamil, 2010).


Senario pada hari ini membuktikan kadar jenayah siber meningkat dan menjadi ancaman kepada setiap organisasi. Ancaman siber boleh wujud dalam pelbagai bentuk tanpa disedari oleh pengguna. Sebagai contoh, serangan virus yang berbahaya ke atas laman-laman sesawang semakin serius. Hal ini menyebabkan pemilik sesebuah laman sesawang perlu sentiasa berwaspada bagi melindungi data-data dan maklumat sulit daripada dicerobohi oleh penggodam dan penjenayah siber.


Kebanyakan organisasi termasuklah kerajaan menjadikan sistem maklumat sebagai nadi bagi menjalankan transaksi perniagaan dan menyimpan rekod-rekod syarikat. Contohnya, syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airline dan AirAsia. Kedua-dua buah syarikat ini menjalankan urus niaga melalui atas talian (on-line) untuk membuat tempahan dan membayar tiket penerbangan. Bayangkan jika berlakunya jenayah siber sewaktu urus niaga dijalankan, sudahkan pasti sesebuah syarikat itu akan mengalami kerugian dan reputasi perniagaan yang buruk (Mustapha bin Hj. Mat, 2009).


Menurut laporan yang ditulis oleh Mejar Husin Jazri, CEO Cyber Security Malaysia pada tahun 2008, “peningkatan kadar jenayah siber merupakan fenomena biasa yang berlaku berikutan perkembangan mendadak pengguna internet setiap tahun (Cyber Security Malaysia, 2004 & 2009). Statistik pada tahun 2008 mendapati aduan yang dilaporkan membabitkan kes penipuan adalah sebanyak 907 kes, diikuti dengan cubaan mengganggu sebanyak 766 kes, berniat jahat sebanyak 277 kes, ancaman penggodam sebanyak 89 kes, gangguan siber 72 kes dan penafian perkhidmatan sebanyak 12 kes (Cyber Security Malaysia, 2009).

Sila rujuk histogram di bawah untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.






Oleh yang demikian, akta dan polisi serta dasar negara perlu dibentuk  sebagai landasan penguatkuasaan undang -undang dan satu bentuk usaha kerajaan dalam  menangani salah laku tersebut.

UNDANG-UNDANG SIBER DI MALAYSIA
Di sebalik kemegahan dan kemajuan kemahiran Teknologi Maklumat yang diakui sebagai pemangkin kemajuan yang hebat dan berpotensi menjadi penggunanya sebagai pemeroleh paling besar dalam bidang masing-masing, malangnya ada pengguna yang kurang jujur pendekatannya. Mereka menyalahgunakan kepakaran dan kemahiran untuk diri sendiri. Bagi mengekang  golongan pengguna sebegini , satu set undang-undang yang efektif perlu dikuatkuasakan. Malaysia menjadi antara negara pertama di dunia yang menguatkuasakan undang-undang siber.
Undang-undang siber di negara Malaysia terbahagi kepada 6 juzuk utama iaitu :
i)   Akta Tandatangan Digital 1997
ii)  Akta Hak Cipta (pindaan) 1997
iii) Akta Jenayah Komputer 1997
iv) Akta Teleperubatan 1997
v)  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
vi) Akta Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia Malaysia1998

Berdasarkan akta-akta yang diwujudkan ini, diharapkan agar semua pengguna internet akan lebih bertanggungjawab dan menggunakan kemudahan yang ada dengan baik. Mereka seharusnya tidak menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan diri sendiri.
Berikut merupakan rujukan utama bagi mengetahui maklumat tentang keselamatan siber di Malaysia.
1. Cyber Security Malaysia (An Agency under MOSTI) -
2. Malaysia Computer Emergency Response Team -
3. Malaysian Common Criteria Evaluation & Certification (MyCC) Scheme - 
4. cybersafe 
5. Information Security Profesional Training-