Howdy and welcome

:)

Thursday 27 October 2011

Teknologi dalam Dunia Pekerjaan

   Perkembangan teknologi komunikasi semakin hebat berlaku sehingga dapat mencorak pelbagai bentuk perubahan dalam sistem masyarakat. Hal ini merujuk kepada pernyataan William Paisley (1985) yang menyatakan bahawa perubahan teknologi komunikasi telah membawa komunikasi pada barisan hadapan revolusi sosial.
   Perkembangan ini juga memainkan peranan penting dalam sektor pekerjaan. Pekerjaan merupakan perkara asas dalam kehidupan setiap individu termasuklah dalam kehidupan golongan belia. Sektor ini memberi peluang kepada para belia untuk menjadi penyumbang utama bagi memperkasakan sesuatu komuniti serta menjamin kemajuan ekonomi negara.
   Untuk pengetahuan pembaca sekalian, kebanyakan negara maju pada abad ke-21 mengamalkan konsep Post-Fordism yang merujuk kepada sistem moden pada masa kini. Ciri-ciri Post-Fordism ialah (1) produksi dalam bentuk 'small-batch', (2) teknologi komunikasi baru, (3) penekanan kepada jenis-jenis konsumer dan bukan kepada struktur kelas sosial, (4) peningkatan perkhidmatan dan pekerja berkolar putih, serta (5) peningkatan wanita dalam dunia pekerjaan.
  Selain itu, terdapat pelbagai konsep pekerjaan. Antaranya ialah konsep 'Electronic Cottage' yang diperkenalkan oleh Alvin Toffler. Konsep ini merupakan satu konsep yang merujuk kepada pekerja yang melakukan kerjanya dengan menggunakan komputer dan kemudahan telekomunikasi seperti telefon bimbit, mesin faks dan internet di rumah. Lyon (1988) berpendapat bahawa konsep ini memberikan beberapa kesan seperti (1) tiada pemusatan kuasa, (2) bilangan perempuan lebih ramai daripada lelaki bekerja di rumah, (3) pekerjaan tidak profesional, (4) pekerjaan separuh masa serta (5) tiada faedah kesihatan. 
   Sebagai contoh pada masa kini, kemajuan teknologi komunikasi juga telah diadaptasikan dalam sistem pengambilan kerja. Hal ini telah memudahkan golongan belia mencari pekerjaan. Mereka tidak perlu menghantar borang tersebut melalui pos lagi setelah kemunculan sistem permohonan kerja secara talian. Sehubungan dengan itu, mereka perlu mengetahui beberapa prosedur dalam pengisian jawatan kosong secara talian untuk memudahkan urusan permohonan mereka.
   Secara asasnya, belia (individu pencari kerja) perlu tahu cara memohon pekerjaan. Klik disini untuk Panduan Permohonan Kerja. Terdapat pelbagai agensi yang menyediakan peluang pekerjaan secara talian bertujuan untuk memudahkan pemohon kerja. Antaranya ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, jenjob.com, JobsMalaysia dan sebagainya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia


JenJobs.com


JobsMalaysia
   Secara umumnya, Facebook boleh dikatakan tempat lepak rasmi dalam kalangan remaja. Sehubungan dengan itu, laman sosial seperti facebook juga menjadi salah satu media alternatif untuk memaparkan iklan jawatan kosong. Misalnya Jawatan Kosong Kerajaan Terkini, pentadbir laman ini memaparkan info jawatan-jawatan kosong dan menggunakan cara menghantar iklan kerja melalui emel individu yang melanggani perkhidmatan mereka. Laman web lain seperti laman web Jawatan Kerajaan Terkini (http://www.jawatankerajaan.com), laman web Jawatan Kosong Terkini Kerajaan, Kementerian, Bank, Swasta 2011 (http://www.newjobsmalaysia.com), dan laman web Jawatan Kosong Terkini di Sektor Bank, Swasta 2011 (http://bank.newjobsmalaysia.com).


Facebook : Jawatan Kosong Kerajaan Terkini


   Pengaplikasian permohonan kerja secara talian juga memberi kemudahan kepada sistem pentadbiran syarikat dimana pihak pengurusan tidak perlu membazirkan masa untuk menyemak borang pemohonan kerja satu per satu serta dapat menjimatkan kos pengiklanan jawatan kosong syarikat tersebut. Sehubungan dengan itu, segala proses mengumpul data, menyimpan data dan menyebar maklumat berlaku secara elektronik.
   Namun, terdapat juga sesetengah belia yang buta IT dimana mereka kurang pengetahuan untuk melayari internet. Hal ini berlaku kerana terdapat jurang informasi antara mereka. Akibatnya mereka mengalami kesukaran untuk memohon pekerjaan secara talian.
   Kesimpulannya, kehadiran teknologi mendatangkan kebaikan dan keburukan berdasarkan pendapat Werneke (1984) yang menyatakan bahawa kesan positif dan kesan negatif teknologi ini bergantung kepada cara dan tujuan penggunaan teknologi tersebut. Penggunaan teknologi dalam dunia pekerjaan memudahkan proses pengumpulan data, analisis data, penyimpanan data dan penyebaran maklumat dilakukan secara elektronik. Justeru, segala kemudahan ini haruslah dimanfaatkan oleh golongan belia khasnya demi memperkasakan diri sendiri, masyarakat dan negara.