Howdy and welcome

:)

Thursday 24 November 2011

BELIA DAN PENGGUNAAN BAHASA DALAM TEKNOLOGI

Pada minggu ini, kita akan melihat isu penggunaan bahasa dalam teknologi. Bahasa mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4 bermaksud apa yang diucapkan, kata,perkataan dan ucapan. Seperti yang diketahui umum, bahasa merupakan salah satu perlambangan imej atau identiti sesuatu masyarakat atau bangsa. Contohnya Bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan oleh orang-orang Melayu, bahasa Tamil pula digunakan oleh kaum India manakala kaum Cina pula menggunakan bahasa Kantonis, Mandarin dan sebagainya sebagai bahasa pertuturan mereka. Ini melambangkan jenis kaum yang berbeza manakala jika dilihat dari skop yang lebih luas, Malaysia telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Namun begitu, dalam penggunaan teknologi yang semakin pesat membangun ini, bahasa yang asli dan baku sudah jarang sekali dilihat digunakan terutamanya oleh belia-belia. Kini, telah wujudnya ‘bahasa rojak’ yang merupakan gabungan banyak bahasa dalam sesuatu ayat dan percakapan seperti gabungan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Contohnya, “I tak boleh call you sekarang sebab I tengah busy..”. Penggunaan bahasa rojak seperti ini sememangnya selalu digunakan dalam laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster, Myspace dan sebagainya. Hal ini sedikit sebanyak dapat menjadikan generasi-generasi baru tidak terdedah kepada bahasa ibunda kita yang betul.

Media seperti televisyen juga ada yang menggunakan bahasa rojak. Sebagai contoh stesen televisyen TV3 pernah menggunakan bahasa rojak dalam rancangan ‘Karnival Sure Heboh’. Hal ini telah menjadi isu dan akhirnya mereka telah menukarkan nama program ini kepada ‘Karnival Jom Heboh’. Persoalannya, adakah perlu kita menggunakan terlalu banyak bahasa campuran? Apakah bahasa Melayu yang sepatutnya melambangkan bangsa kita ini tidak sehebat bahasa-bahasa lain sehingga kita harus mencampur adukkan bahasa lain dengan bahasa kita? Bersamalah kita fikirkan.

Bukan itu sahaja, belia sekarang telah mencipta sendiri singkatan bahasa atau lebih dikenali sebagai bahasa short message sending(sms). Bahasa sms ini pula merupakan singkatan perkataan contohnya tidak akan menjadi x(tak), buat menjadi wt, sekarang menjadi skunk, aku menjadi aq dan banyak lagi. Terdapat sesetengah daripadanya boleh difahami oleh orang lain namun terdapat juga sesetengah perkataan yang tidak dapat difahami terutamanya oleh golongan yang lebih berusia. Bahasa sms ini banyak digunakan dalam penggunaan penghantaran pesanan ringkas (sms) dan dalam laman-laman sosial. Antara contoh ayat ‘sms’ remaja zaman sekarang ialah “aq nk g kt ko skunk, ko punyew moto ade mane?aq x bwk moto neh..”. Tidak dilupakan juga penggunaan bahasa-bahasa kasar dan lucah melalui teknologi juga semakin berleluasa dan semakin membimbangkan.

contoh laman web bahasa asing 
Namun begitu, teknologi juga amat berguna jika kita benar-benar menggunakannya secara betul. Antaranya ialah kita boleh mempelajari bahasa-bahasa asing melalui internet. Contohnya bahasa Korea, German, Jepun dan lain-lain lagi dengan mudah dan pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu ada guru. Di dalam laman web tersebut telah disediakan audio untuk membantu pengajaran bahasa tersebut. Ini akan memudahkan kita dalam sesi pembelajaran dan akan memberikan impak yang positif dan cepat. Di sini terdapat beberapa laman web yang boleh kita gunakan untuk mempelajari bahasa asing koreanClass.101.com, learnalanguagelearnjapanese, dan deutsch-lernen .

No comments:

Post a Comment